Monday, June 18, 2012

GOTONG-ROYONG BERSIH KAWASAN SEKOLAH

Pada Sabtu, 16 Jun 2012, pihak sekolah dengan kerjasama Majlis Permuafakatan Ibu Bapa Guru (MPIBG) telah berjaya mengadakan satu program gotong-royong membersihkan kawasan sekitar sekolah. Sebelum program bermula, para guru serta ibu bapa 'mengisi perut' dengan bersarapan di kantin sekolah yang telah disediakan oleh pihak sekolah.

Aktiviti gotong-royong tersebut bermula jam 9.00 pagi dengan mengumpulkan barang-barang terbuang, dahan-dahan pokok dan daun-daun kering untuk dibakar. Dalam masa yang sama, beberapa orang bapa dan kakitangan lelaki membersihkan semak-samun di tepi pagar sekolah berhampiran kolam yang telah sekian lama terbiar. Selain ibu bapa dan guru-guru, terdapat juga pelajar yang turut membantu menjayakan aktiviti ini. Kesungguhan mereka menunjukkan betapa kasih dan sayangnya mereka terhadap sekolah ini.
Setelah penat melakukan aktiviti, ibu bapa dan guru-guru mengambil peluang untuk berehat seketika dan membasahkan tekak masing-masing. Walaupun keletihan, namun terpancar wajah ceria mereka yang ikhlas melaksanakan amal kebaikan ini.


Aktiviti kemuncak ialah menebang pokok gelang berhampiran surau sekolah. Usaha menumbangkan pokok tersebut dilakukan secara bekerjasama antara ibu bapa, guru-guru dan pelajar. Program gotong-royong ini berakhir jam 1.00 petang selepas semua yang hadir menjamu selera dengan makan tengah hari yang telah disediakan di kantin sekolah. Pihak sekolah mengucapkan berbanyak terima kasih dan amat berbesar hati dengan segala kerjasama dan permuafakatan yang diberikan antara ibu bapa dan guru. Semoga usaha ini dikira sebagai amal soleh dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT, InsyaAllah.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...