Sepanjang khidmatnya di SRIDB, Allahyarham sememangnya seorang yang ringan tulang dan sangat mesra dengan sesiapa sahaja, samada guru-guru, kakitangan, ibu bapa mahupun para pelajar. Telatahnya walaupun kelihatan seperti kebudak-budakan, namun sering mencuit hati sesiapa sahaja. Allahyarham juga seorang yang sukar menolak pertolongan orang yang meminta daripadanya dan akan cuba membantu semampunya. Baginya, tidak menjadi beban jika kesusahan terpaksa dipikulnya asalkan orang lain mendapat kesenangan. Dalam mesyuarat atau perbincangan, Allahyarham sentiasa memberikan buah fikiran yang bernas bagi melancarkan sesuatu program.
Qada' qadar Allah mengatasi segalanya. Aktiviti gotong-royong di sekolah yang disertai Allahyarham pada hari itu merupakan amalan kebajikan terakhir dilakukannya. Allahyarham tiba di sekolah seawal jam 7.30 pagi dari Kuala Terengganu dengan menaiki motosikal Yamaha LC milik anak saudaranya. Sebelum itu, Allahyarham telah pulang ke kampungnya (Kuala Terengganu) pada petang hari Rabu, 13 Jun 2012 kerana urusan tertentu dan sempat singgah di Sekolah Menengah Islam Darul Bayan (SMIDB) untuk bermaafan dengan guru serta kakitangan di sana. Pada hari Jumaat, 15 Jun, Allahyarham sempat menyampaikan khutbah Jumaat di sebuah masjid di kampungnya. Pada awal pagi Sabtu pula, Allahyarham mengikuti program QiamulLail anjuran Urusan Ulama' Kawasan Tepoh dan menjadi imam solat Subuh pagi itu. Selepas itulah, Allahyarham mula bertolak ke Paka untuk menyertai aktiviti gotong-royong sekolah.
Diceritakan bahawa pada hari gotong-royong tersebut, Allahyarham menegur sapa beberapa orang guru perempuan yang jarang ditegurnya. Allahyarham juga sentiasa tersenyum sepanjang aktiviti tersebut dijalankan. Kesungguhan kerja-kerja yang dilakukannya juga agak luar biasa. Cuma pada hari itu, kelakuan Allahyarham tidak seriuh sebagaimana biasa kerana beliau memang dikenali sebagai seorang yang mudah meriuhkan suasana dengan seloroh dan hilai tawanya. Tiba waktu tengah hari, Allahyarham menumpang mandi dan solat zohor di rumah guru bujang sebelum bertolak pulang ke Kuala Terengganu. Setelah itu, Allahyarham singgah di kantin sekolah yang ketika itu ibu bapa dan guru-guru sedang menjamah makan tengah hari untuk bersalaman. Dikhabarkan, ketika Allahyarham memasuki kantin, seorang guru melihat satu kelainan pada wajah Allahyarham di mana beliau kelihatan sangat kacak dan berseri-seri. Namun, perasaan itu ditutup dengan andaian bahawa Allahyarham baru memotong rambutnya.
"Nok balik doh," kata-kata ringkas Allahyarham sebelum bersalam. Allahyarham bersalaman dengan semua sahabat yang berada di kantin waktu itu tanpa banyak bercakap dan hanya tersenyum. Di bahagian dapur, Allahyarham memohon maaf daripada kakitangan kantin dan beliau juga ditawarkan lauk untuk dibawa pulang namun ditolak oleh Allahyarham. Sejurus kemudian, Allahyarham mula bertolak pulang keluar dari kawasan sekolah.
Kurang lebih jam 3.00 petang, sekolah dikejutkan dengan kematian Allahyarham. Sebahagian besar guru bergegas ke Kuala Terengganu untuk melihat Allahyarham buat kali terakhir. Di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Guru Besar dan beberapa orang lagi sempat mengusung jenazah Allahyarham masuk ke dalam van jenazah untuk dibawa pulang ke rumahnya di Kg. Petaling.
Di rumah ayah Allahyarham, guru-guru sempat melihat wajah Allahyarham buat kali terakhir selain mengucup dahi Allahyarham dan menyedekahkan Al-Fatihah serta bacaan Yasin. Senyuman yang terukir pada wajah Allahyarham menyenangkan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan digolongkan bersama-sama para solihin, InsyaAllah.
AL - FAATIHAH
Allahyarham Ustaz Haji Mohd Madhan Mohamad
(23/4/1979 - 16/6/2012)
No comments:
Post a Comment